Sunday 27 January 2013

Bab yang ketiga pada menyatakan zuhud

Bab yang ketiga pada menyatakan zuhud

Ketahui olehmu bahawasanya zuhud itu benci akan dunia dan berpaling daripadanya. Dan berkata setengah ulama’, iaitu meninggalkan kesenangan dunia kerana menuntut akan kesenangan akhirat. Dan berkata setengah yang lain: menyimpankan atas qadar yang sangat berhajat daripada barang yang diyakinkan akan halnya. Dan berkata setengah yang lain: Meninggalkan menuntut yang tiada ada hingga habis barang yang ada.

Dan bahawasanya zuhud itu satu kelakuan hati yang dipuji yang menyebabkan ia akan kasih Allah Ta’ala dan sekalian manusia akan orang yang bersifat dengan dia, kerana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

اِزْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَازْهَدْ فِيْمَا فِي اَيْدِي النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ
Ertinya: Zuhud olehmu pada dunia nescaya kasih akan dikau oleh Allah Ta’ala, dan zuhud olehmu pada barang yang di tangan manusia daripada dunia nescaya kasih akan dikau oleh manusia. (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan menyatakannya hadith ini hasan dan Al-Hakim dan menyatakannya hadith ini shahih)

Adalah zuhud itu terjadi ia kerana ilmu, kerana firman Allah Ta’ala yang bermaksud
 

Ertinya: Dan berkata oleh mereka yang diberikan akan ilmu: Celaka kamu! Bermula pahala Allah  Ta’ala lebih baik bagi mereka yang beriman dan yang beramal ia akan amal yang soleh (daripada barang yang diberikan akan Qarun di dalam dunia ini).

1.                Pangkat yang pertama, bahawa zuhud ia pada ketika hatinya cenderung kepada dunia, tetapi bersungguh-sungguh ia pada melawan akan hatinya pangkat ini bukan zuhud tetapi permulaan bagi zuhud.

2.      Pangkat yang kedua, bahawa liar hatinya daripada dunia, dan tiada cenderung ia kepadanya kerana mengetahui akan bahawasanya tiada bias menghimpun akan dunia dan akhirat, maka murah hatinya dengan meninggalkan dunia itu, kerana mengetahui ia akan bahawasanya akhirat itu lebih baik daripada dunia, seperti mrah hati mereka yang membeli akan permata yan indah dengan seringgit, sekalipun kasih ia akan wang yang seringgit itu. Dan itu zuhud yang lebih rendah.

3.      Dan pangkat yang ketiga, bahawa tiada cenderung hatinya kepada dunia dan tiada liar daripadanya. Bahkan adanya dan tiadanya bersamaan keduanya pada sisinya dan adalah harta benda pada sisinya seperti air. Dan perbendaharaan Allah Ta’ala seperti laut, maka tiada berpaling hatinya kepadanya kerana gemar atau kerana liar.

Dan bermula ini zuhud yang lebih sempurna dan yang lebih tinggi daripada yang kedua, kerana yang benci akan sesuatu berbimbang ia dengan dia, semacam dengan yang kasih akan dia, kerana ini tatkala mencela akan dunia oleh beberapa lelaki pada sisi Rabi’atul Adawiyah berkata ia bagi mereka itu jika tiada cemarnya hati kamu nescaya tiada mencela kamu akan dia. Di bawa kepada Siti Aisyah radhiyallahu ‘anha berates ribu durham, maka tiada liar ia daripadanya, tetapi membahagi-bahagi ia akan dia semuanya pada hari itu tiada ada tinggal di sisinya sesuatu. Maka berkata khadamnya baginya: “Jika engkau beli dengan satu dirham akan daging yang berbuka puasa engakau atasnya.” Maka menjawab ia:“Jika engkau peringat akan daku tadi nescaya memperbuat oleh aku akan dia.” Maka ini pangkat terkaya dan ia lebih sempurna daripada pangkat zuhud.

Dan ketahui olehmu bahawasanya sebab bagi zuhud itu tiga perkara.
1.      Takut akan api neraka dan iaitu zuhud sekalian yang takut.

2.      Gemar pada nikmat akhirat, ini lebih tinggi daripada yang pertama. Dan zuhud yang terjadi daripadanya zuhud sekalian yang harap. Dan bermula ibadah serta harap lebih afdal daripada ibadah serta takut, kerana harap itu melazimkan ia akan kasih.

3.           Iaitu; yang lebi tinggi, bahawa adala sebab bagi zuhud itu membesarkan diri daripada berpaling kepada yang lain daripada Allah Ta’ala, kerana membersihkan hati daripadanya dan menghinakan akan barang yang lain daripada Allah Ta’ala. Dan itu zuhud sekalian ‘arifin.

Dan bahawasanya zuhud lebih sempurna zuhud pada tiap-tiap yang lain daripada Allah Ta’ala pada dunia dan pada akhirat dan kurang daripadanya zuhud pada dunia sahaja sama ada harta atau kemegahan atau bersedap-sedap atau lainnya.

Dan kurang daripada ini zuhud pada harta sahaja tiada pada kemegahan dan lainnya. Atau zuhud pada setengah perkara dunia pada setengah yang lain. Dan yang akhir ini sedhaif-dhaif zuhud kerana kemegahan ini lebih lazat dan lebih diingini daripada harta, maka zuhud padanya lebih utama.

Dan bahawasanya perbezaan antara zuhud dan fakir, bahawasanya zuhud itu terasing ia daripada dunia kerana taat serta kuasa ia atasnya. Adapun jika terasing engkau daripada dunia pada ketika gemar engkau padanya, maka itu dinamakan fakir (papa). Tiada. Ada ia zuhud, tetapi ada bagi fakir itu kelebihan atas kaya.

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

يَدْخُلُ فُقَرَاءُ أُمَّتِي الْجَنَّةَ قَبْلَ اَغْنِيَائِهِمْ بِخَمْسِ مائة عَامٍ

Ertinya: Masuk syurga sekalian fakir umatku dahulu daripada sekalian yang kaya daripada mereka itu dengan lima ratus tahun. (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Abi hurairah radhiyallahu ‘anhu, dan beliau berkata hadith ini hasan shahih)

Dan pada satu riwayat: Dengan empat puluh tahun. Maka ditanggungkan riwayat lima ratus tahun itu atas mendahului fakir zahid atas yang gemar pada dunia. Dan riwayat empat puluh tahun itu atas mendahului fakir yang loba atas yang kaya. Yang loba menyebut akan dia oleh Imam Al-Ghazali di dalam Ihya ‘Ulumiddin.

Dan bersembah oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
اَللَّهُمَّ اَحْيِنِي مِسْكِيْنًا وَاَمِتْنِي مِسْكِيْنًا

Ertinya: Hai Allah! Hidupkan olehmu akan daku miskin, dan matikan olehmu akan daku miskin. (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Anas radhiyallahu ‘anhu dan menghasankan hadith ini)

Dan wafat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada ketika baju besinya tergadai pada sisi Yahudi, kerana hutangnya sebab nafkah ahlinya.

Dan ketahui olehmu bahawasanya fakir itu jika ada ia terpada dengan barang yang diberi akan dia dan tiada ada ia loba pada menurut harta, maka pangkatnya hampir daripada pangkat orang yang zahid.

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
طُوْبَى لِمَنْ اَسْلَمَ وَكَانَ عَيْشُهُ كَفَافًا 

Ertinya: Bermula syurga bagi mereka yang Islam ia dan adalah kehidupannya sekadar memadai Ia. (Diriwayatkan oleh Ar-Razi dan Anas, dan diriwayatkan juga oleh Al-Qadha’i dan Asy-Syihab)

Tetapi hanya sanya besar pahala fakir itu jika ia sabar dan redha dan memadakan ia akan yang ada. Dan bermula sabar atas kepapaan itu adalah ia permulaan bagi zuhud. Dan tiada sempurna zuhud dan lainnya melainkan dengan sabar, maka hendaklah menyebut hamba akan bab sabar  kemudian daripada bab zuhud. Aallahu a’lam.

Rujukan daripada buku: Abdul Qadir Bin abdul Muthalib Al-Indonesia Al-Mandili,
Penawar Bagi Hati, Perniagaan Jahabersa, cetakan pertama: 2007,ms 117-121.

No comments:

Post a Comment