Bab yang ketiga pada
menyatakan zuhud
Ketahui
olehmu bahawasanya zuhud itu benci akan dunia dan berpaling daripadanya. Dan
berkata setengah ulama’, iaitu meninggalkan kesenangan dunia kerana menuntut
akan kesenangan akhirat. Dan berkata setengah yang lain: menyimpankan atas
qadar yang sangat berhajat daripada barang yang diyakinkan akan halnya. Dan
berkata setengah yang lain: Meninggalkan menuntut yang tiada ada hingga habis
barang yang ada.
Dan
bahawasanya zuhud itu satu kelakuan hati yang dipuji yang menyebabkan ia akan
kasih Allah Ta’ala dan sekalian manusia akan orang yang bersifat dengan dia,
kerana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
اِزْهَدْ فِي
الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَازْهَدْ فِيْمَا فِي اَيْدِي النَّاسِ يُحِبَّكَ
النَّاسُ
Ertinya:
Zuhud olehmu pada dunia nescaya kasih akan dikau oleh Allah Ta’ala, dan zuhud
olehmu pada barang yang di tangan manusia daripada dunia nescaya kasih akan
dikau oleh manusia. (Diriwayatkan oleh
At-Tirmidzi dan menyatakannya hadith ini hasan dan Al-Hakim dan menyatakannya
hadith ini shahih)
Adalah zuhud itu
terjadi ia kerana ilmu, kerana firman Allah Ta’ala yang bermaksud
Ertinya:
Dan berkata oleh mereka yang diberikan akan ilmu: Celaka kamu! Bermula pahala
Allah Ta’ala lebih baik bagi mereka yang
beriman dan yang beramal ia akan amal yang soleh (daripada barang yang
diberikan akan Qarun di dalam dunia ini).
1. Pangkat yang pertama, bahawa zuhud ia
pada ketika hatinya cenderung kepada dunia, tetapi bersungguh-sungguh ia pada
melawan akan hatinya pangkat ini bukan zuhud tetapi permulaan bagi zuhud.
2.
Pangkat yang kedua, bahawa liar hatinya
daripada dunia, dan tiada cenderung ia kepadanya kerana mengetahui akan
bahawasanya tiada bias menghimpun akan dunia dan akhirat, maka murah hatinya
dengan meninggalkan dunia itu, kerana mengetahui ia akan bahawasanya akhirat
itu lebih baik daripada dunia, seperti mrah hati mereka yang membeli akan
permata yan indah dengan seringgit, sekalipun kasih ia akan wang yang seringgit
itu. Dan itu zuhud yang lebih rendah.
3.
Dan pangkat yang ketiga, bahawa tiada
cenderung hatinya kepada dunia dan tiada liar daripadanya. Bahkan adanya dan
tiadanya bersamaan keduanya pada sisinya dan adalah harta benda pada sisinya
seperti air. Dan perbendaharaan Allah Ta’ala seperti laut, maka tiada berpaling
hatinya kepadanya kerana gemar atau kerana liar.
Dan
bermula ini zuhud yang lebih sempurna dan yang lebih tinggi daripada yang
kedua, kerana yang benci akan sesuatu berbimbang ia dengan dia, semacam dengan
yang kasih akan dia, kerana ini tatkala mencela akan dunia oleh beberapa lelaki
pada sisi Rabi’atul Adawiyah berkata ia bagi mereka itu jika tiada cemarnya
hati kamu nescaya tiada mencela kamu akan dia. Di bawa kepada Siti Aisyah
radhiyallahu ‘anha berates ribu durham, maka tiada liar ia daripadanya, tetapi
membahagi-bahagi ia akan dia semuanya pada hari itu tiada ada tinggal di
sisinya sesuatu. Maka berkata khadamnya baginya: “Jika engkau beli dengan satu
dirham akan daging yang berbuka puasa engakau atasnya.” Maka menjawab ia:“Jika
engkau peringat akan daku tadi nescaya memperbuat oleh aku akan dia.” Maka ini
pangkat terkaya dan ia lebih sempurna daripada pangkat zuhud.
Dan
ketahui olehmu bahawasanya sebab bagi zuhud itu tiga perkara.
1.
Takut akan api neraka dan iaitu zuhud
sekalian yang takut.
2.
Gemar pada nikmat akhirat, ini lebih
tinggi daripada yang pertama. Dan zuhud yang terjadi daripadanya zuhud sekalian
yang harap. Dan bermula ibadah serta harap lebih afdal daripada ibadah serta
takut, kerana harap itu melazimkan ia akan kasih.
3.
Iaitu; yang lebi tinggi, bahawa adala
sebab bagi zuhud itu membesarkan diri daripada berpaling kepada yang lain
daripada Allah Ta’ala, kerana membersihkan hati daripadanya dan menghinakan
akan barang yang lain daripada Allah Ta’ala. Dan itu zuhud sekalian ‘arifin.
Dan
bahawasanya zuhud lebih sempurna zuhud pada tiap-tiap yang lain daripada Allah
Ta’ala pada dunia dan pada akhirat dan kurang daripadanya zuhud pada dunia
sahaja sama ada harta atau kemegahan atau bersedap-sedap atau lainnya.
Dan
kurang daripada ini zuhud pada harta sahaja tiada pada kemegahan dan lainnya.
Atau zuhud pada setengah perkara dunia pada setengah yang lain. Dan yang akhir
ini sedhaif-dhaif zuhud kerana kemegahan ini lebih lazat dan lebih diingini
daripada harta, maka zuhud padanya lebih utama.
Dan
bahawasanya perbezaan antara zuhud dan fakir, bahawasanya zuhud itu terasing ia
daripada dunia kerana taat serta kuasa ia atasnya. Adapun jika terasing engkau
daripada dunia pada ketika gemar engkau padanya, maka itu dinamakan fakir
(papa). Tiada. Ada ia zuhud, tetapi ada bagi fakir itu kelebihan atas kaya.
Sabda Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam:
يَدْخُلُ فُقَرَاءُ
أُمَّتِي الْجَنَّةَ قَبْلَ اَغْنِيَائِهِمْ بِخَمْسِ مائة عَامٍ
Ertinya:
Masuk syurga sekalian fakir umatku dahulu daripada sekalian yang kaya daripada
mereka itu dengan lima ratus tahun. (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Abi
hurairah radhiyallahu ‘anhu, dan beliau berkata hadith ini hasan shahih)
Dan
pada satu riwayat: Dengan empat puluh tahun. Maka ditanggungkan riwayat lima
ratus tahun itu atas mendahului fakir zahid atas yang gemar pada dunia. Dan
riwayat empat puluh tahun itu atas mendahului fakir yang loba atas yang kaya.
Yang loba menyebut akan dia oleh Imam Al-Ghazali di dalam Ihya ‘Ulumiddin.
Dan bersembah oleh
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
اَللَّهُمَّ اَحْيِنِي
مِسْكِيْنًا وَاَمِتْنِي مِسْكِيْنًا
Ertinya:
Hai Allah! Hidupkan olehmu akan daku miskin, dan matikan olehmu akan daku
miskin. (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Anas radhiyallahu ‘anhu dan
menghasankan hadith ini)
Dan
wafat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada ketika baju besinya tergadai
pada sisi Yahudi, kerana hutangnya sebab nafkah ahlinya.
Dan
ketahui olehmu bahawasanya fakir itu jika ada ia terpada dengan barang yang
diberi akan dia dan tiada ada ia loba pada menurut harta, maka pangkatnya hampir
daripada pangkat orang yang zahid.
Sabda Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam:
طُوْبَى لِمَنْ
اَسْلَمَ وَكَانَ عَيْشُهُ كَفَافًا
Ertinya:
Bermula syurga bagi mereka yang Islam ia dan adalah kehidupannya sekadar
memadai Ia. (Diriwayatkan oleh Ar-Razi dan Anas, dan diriwayatkan juga oleh
Al-Qadha’i dan Asy-Syihab)
Tetapi
hanya sanya besar pahala fakir itu jika ia sabar dan redha dan memadakan ia
akan yang ada. Dan bermula sabar atas kepapaan itu adalah ia permulaan bagi
zuhud. Dan tiada sempurna zuhud dan lainnya melainkan dengan sabar, maka
hendaklah menyebut hamba akan bab sabar
kemudian daripada bab zuhud. Aallahu a’lam.
Rujukan
daripada buku: Abdul Qadir Bin abdul Muthalib Al-Indonesia Al-Mandili,
Penawar
Bagi Hati, Perniagaan Jahabersa, cetakan pertama: 2007,ms 117-121.