Saturday 16 March 2013

Sikap zuhud Rasulullah ke atas dunia bersumberkan sebuh buku.



Moral zuhud
Moral Zuhud ialah moral yang berdasarkan kepada kepentingan akhirat semata-mata dan mengabaikan kehidupan di dunia. Golongan yang mempraktikkan moral ini terdiri daripada golongan seperti ahli tasawuf.

Sikap Rasulullah ke atas Dunia
Zuhud
Baginda tidak berhasrat kepada sesuatu yang harus, padahal adanya kesanggupan memperolehnya atau mengerjakannya, melatih diri dan membersihkannya. Baginda mendahulukan kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri. Dengan sifat ini, baginda mendidik para pengikutnya berakhlak mulia seperti baginda. Mereka tidak tunduk kepada kesenangan hawa nafsu, mereka lebih mengutamakan orang lain daripada diri mereka sendiri seperti Abu Bakar, Umar, Ali daripada kalangan sahabat mahupun para pemimpin yang lain. Tarmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Syakhkhairra, “Saya mendatangi Rasulullah SAW baginda sedang mengerjakan solat, dari perut baginda terdengar seperti bunyi air yang sedang mendidih kerana tangis”.

Pernah Umar al-Khattab melihat Rasulullah berbaring di atas pasir berdebu, sehingga meninggalkan bekas di rusuk baginda mengalir air mata Umar melihatnya. Rasulullah bertanya:” Ada apa hai Umar?” Maka Umar menjawab:” Wahai Rasulullah, engkau adalah manusia pilihan Allah, sedangkan Kisra dan Kaisar begitu mewah kehidupan keduanya.” Mendengar perkataan Umar itu Rasulullah merah padam mukanya lalu berkata;” Apakah engkau dalam keraguan hai Ibnu Khattab? Mereka adalah satu kaum yang disegerakan bagi mereka kemewahan hidup mereka di dunia ini.” Baginda juga pernah bersabda, “Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad sekadar cukup untuk dimakan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rumah
Rasulullah SAW, menolak kekayaan kerana baginda tidak mahu umatnya mencontohi perbuatannya dengan mengambil kekayaan untuk peribadi dan duniawi. Sekalipun baginda dapat apa yang dihajatinya, baginda tetap mahu hidup sebagai hamba. Itulah sikap pemimpin sejati yang mana rumahnya betul-betul macam rumah seorang hamba, yang kecil, sempit, berbumbung rendah, dibuat daripada tanah dan pintunya daripada kain guni.

Tempat tidur
Alas tidur Rasulullah SAW cumalah anyaman tikar daun kurma, apabila baginda bangun tidur, berbekas-bekas urat-urat daun anyaman pada badan baginda yang mulia itu. Kebesaran baginda sebagai pemimpin dunia tidak menghalangnya hidup sebagai hamba yang lemah.

Makanan dan minuman
Baginda juga sering berlapar sehingga perutnya pernah dilapik dengan batu menahan kelaparan dan makanannya diberikan kepada orang lain. Baginda makan hanya apabila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Makanan baginda Cuma susu, air dan kurma. Sekiranya lebih baginda tidak buang kerana sangat saying dan menjaga rezeki yang Allah SWT kurniakan. Kerana itu kalau berlebih, cepat-cepat dihantar ke rumah jiran untuk dihabiskan. Hidup baginda bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Baginda tidak makan seorang diri, mesti secara berjemaah.

Pakaian
Rasulullah SAW cuma ada sedikit pakaian, itu pun jenis pakaian orang susah dan murah. Sesekali baginda memakai juga pakaian mahal yang dihadiahkan orang bukan hasil usahanya sendiri. Baginda memakainya kerana menghormati pemberian hadiah daripada orang tetapi lazimnya pakaiannya yang cantik, kemas dan bersih serta wangi itu adalah jenis pakaian yang murah.

Kenderaan
Sebagai hamba, baginda tidak merasa jijik naik keldai, tetapi baginda juga berkuda dan naik unta sesuai dengan keperluan perjalanan. Tetapi keperluan perhubungan yang jauh serta peruntukan-peruntukan perjuangan memang memerlukan kenderaan yang agak canggih. Misalnya baginda menunggang kuda Sambrani, seekor kuda yang dihadiahkan kepada baginda.

Harta benda dan wang
Rasulullah SAW asalnya kaya dan berada kerana mewarisi kekayaan isterinya Siti Khadijah. Walau bagaimanapun sewaktu wafat, baginda tidak meninggalkan apa-apa harta dan wang. Ertinya hidupnya bukan untuk mengejar kekayaan harta benda dan wang yang mana semuanya dikorbankan untuk jihad fisabilillah sebagai sumber pembangunan ummah.

Apabila sudah berkorban sampai begitu sekali, apa jaminan masa depan anak-anak yang ditinggalkan? Persoalan ini tidak timbul sama sekali sebab setiap anggota masyarakat tentu mendapat pembelaan daripada masyarakat beriman. Seperti kerajaan dan masyarakat yang memerintah, menjaga dan mengawal anak buahnya dengan penuh kasih saying dan tanggungjawab yang cintakan Allah SWT dan akhirat lebih daripada cintakan dunia dan segala kesenangan dalamnya.

Begitulah sikap Rasulullah SAW ke atas dunia. Baginda seolah-olah tidak hirau atau tidak mempedulikan sangat berkenaan urusan yang berkaitan dengan dunianya. Tetapi untuk akhirat, baginda sangat serius melaksanakan segala tanggungjawab yang dipikulnya.

Sikap Rasulullah ke atas Akhirat
Perjuangan
Perjuangan diletakkan sebagai perkara pertama dalam kerja-kerja akhirat yang dilakukan oleh Rasulullah. Tujuannya adalah memberi penekanan yang lebih sesuai dengan pentingnya perjuangan ini di samping menyatakan ia bukan urusan dunia, tetapi urusan akhirat. Baginda berjuang sepanjang umurnya bagi menegakkan kalimah Allah SWT di muka bumi. Baginda sungguh serius demi menegakkan kebenaran baginda sanggup menghadapi apa saja risiko sekalipun mati. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada bapa saudaranya: “Demi Allah, wahai bapa saudaraku, sekalipun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya sehingga Alllah SWT memberi keputusannya.”

Kepimpinan
Kepimpinan Rasulullah SAW adalah kepimpinan yang tidak dapat dipertikaikan, kecuali oleh musuh baginda dan musuh Islam. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari akhirat.”

Kepimpinan baginda mencakupi kepimpinan agama dan siasah iaitu suatu kepimpinan yang bersepadu. Sebelum dilantik sebagai rasul, baginda terdedah kepada berbagai pengalaman seperti menjadi penggembala kambing, melibatkan diri dalam urusan perniagaan dan menjadi pendamai dalam peristiwa meletakkan Hajar al-Aswad di bucu Kaabah. Baginda diberi gelaran ‘al-Amin’

Dalam konteks kepimpinan keagamaan, baginda telah menghadapi berbagai dugaan dan cabaran yang getir dengan kaumnya sendiri. Untuk merubah kepercayaan sesuatu kaum yang telah berakar umbi dan diwarisi sekian lama memerlukan individu yang istimewa. Mempunyai ciri-ciri keperibadian yang tinggi seperti sabar, kebijaksanaan dan ketabahan. Sifat-sifat tersebut telah membantu baginda dalam menghadapi musuhnya.

Mendidik
Usaha ini adalah satu daripada cabang perjuangan yang penting dan juga urusan akhirat. Rasulullah SAW sentiasa mendidik umatnya siang dan malam, pagi dan petang ataupun di mana saja. Baginda tidak pernah meminta upah dan tidak pula mencari kepentingan peribadi. Baginda sangat serius menasihati, menegur, memandu dan menunjuk ajar siapa sahaja tanpa mengira pangkat atau darjat. Baginda pergi ke mana sahaja bagi menyampaikan mesej dakwah kepada manusia. Sehingga waktu baginda sakit tenat dan hamper wafat, baginda masih bercakap berkaitan nasib umatnya.

Berkorban
Perjuangan dan pendidikan tidak dapat berjalan dengan baik tanpa pengorbanan. Oleh itu Rasulullah SAW sentiasa sangat serius berkorban wang ringgit, harta benda, masa, tenaga, fikiran dan segalanya. Baginda pergi ke medan perang dan berada di barisan hadapan sekali. Baginda ikut sama mengorek parit dan mengangkat batu dalam Perang Khandak. Baginda hidup bersama fakir miskin, janda dan anak yatim dan menjadi pembela kepada orang-orang susah itu. Apabila mendapat harta rampasan perang, baginda dahulukan ahli suffah dan masyarakat lainnya tanpa menghiraukan diri dan ahli keluarga baginda. Orang yang berhutang, bagindalah yang membayarnya. Pendeknya demi keselamatan ummah baginda rela menanggung susah payahnya.

Kesimpulan
Apabila berbicara berkenaan sahsiah atau keunggulan peribadi, maka tentulah nilai terunggul itu terpancar daripada akhlak al-Karimah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW. Kecemerlangan umat silam sesungguhnya terpancar daripada sinar akidah, gemerlap syariah serta kilauan akhlak yang diteladankan oleh Rasulullah SAW. Kalau mengikut proses biasa, rasanya tidak ada jalan singkat untuk mencapai takwa dan akhlak mulia. Sejarah memperlihatkan seseorang yang hendak membaiki diri lebih-lebih lagi masyarakat memerlukan belasan malah sampai puluhan tahun. Rasulullah Saw membuktikan praktikalnya al-Quran sebagai panduan utama mencapai ketinggian budi dan akhlak yang mulia. Setiap individu Muslim perlu menghayati dan mengamalkan segala sikap dan akhlak baginda agar hidup mereka selamat sejahtera di dunia dan di akhirat.
Sumber: Mardzelah Makhsin(ed.), 2003, Pendidikan Islam, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment